Fahmi bercakap pada sidang akhbar Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di M Resort & Hotel hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

MySiren: Kerajaan sedia laporan menyeluruh, kenal pasti isu berbangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menyediakan laporan menyeluruh berhubung ujian sistem amaran awal bencana MySiren yang dijalankan hari ini, termasuk mengenal pasti isu berbangkit seperti kawasan titik buta yang berpotensi tidak menerima amaran.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan itu akan disediakan dalam bentuk Nota Jemaah Menteri bagi memaklumkan hasil ujian serta perkara yang perlu diberi perhatian untuk penambahbaikan sistem berkenaan.

“Kita akan dapatkan maklumat menyeluruh. Sekarang ini baru tiga jam daripada waktu ujian itu dijalankan dan saya akan sediakan Nota Jemaah Menteri untuk memaklumkan hasil daripada ujian yang dilakukan pada hari ini.

“Dalam laporan itu nanti sudah pasti kita akan maklumkan mengenai isu-isu yang berbangkit termasuk apa disebut sebagai titik buta,” katanya kepada pemberita pada sesi Penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian anjuran MCMC di sini tadi.

Fahmi berkata, penyampaian maklumat ketika bencana tidak bergantung semata-mata kepada sistem amaran awal, sebaliknya turut menggunakan beberapa kaedah alternatif bagi memastikan orang ramai dapat menerima maklumat sewajarnya.

“Antara mekanisme yang tersedia termasuk pemasangan siren oleh Jabatan Pengairan dan Saliran di kawasan sungai serta penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara kepada orang awam.

“Selain itu, Jabatan Penerangan turut mempunyai kemudahan Info On Wheels yang membolehkan hebahan secara langsung dilakukan menerusi unit siar raya, khususnya di kawasan yang berdepan gangguan bekalan elektrik sehingga menjejaskan operasi menara telekomunikasi,” katanya.

Hari ini, Kosmo! melaporkan orang ramai mula menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula 10.10 hingga 10.30 pagi ini.

Ujian itu diadakan bagi menguji keupayaan sistem MySiren dalam menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna termasuk di kawasan pedalaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN