PETALING JAYA – Penganjur dan panel hakim kejohanan lumba jalan kaki 800 meter yang tular di media sosial diminta tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan pertandingan tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau memahami kekecewaan ibu bapa selepas menonton rakaman video pertandingan berkenaan yang mencetuskan pertikaian dalam kalangan orang ramai.
“Saya dah tengok video lumba jalan kaki 800 meter di Junior Development Programme (JDP) Siri 3, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 14 November lalu. Saya faham rasa terkilan ibu bapa.
“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Atlet dan ibu bapa berhak untuk tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Menurut beliau, kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, bukan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam pada itu, Taufiq berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Olahraga Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh latihan dan kompetensi pegawai teknikal.
“Half Marathon Race Walk dipertandingkan di Sukan SEA 2027, dan pegawai kita mesti bersedia,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video pertandingan lumba jalan kaki melibatkan atlet cilik yang mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai apabila seorang peserta didakwa tidak mematuhi teknik berjalan kaki yang ditetapkan, namun dikatakan muncul sebagai pemenang.
Rakaman yang dikongsikan menerusi akaun Threads @olahragamalaysia itu meraih lebih 3.3 juta tontonan, selain menerima lebih 3,500 komen.
Rata-rata pengguna media sosial turut menuntut agar keputusan pertandingan berkenaan disemak semula bagi memastikan keadilan kepada atlet yang bertanding.
Mengikut peraturan asas acara lumba jalan kaki, atlet perlu memastikan tiada kehilangan sentuhan kaki dengan permukaan tanah yang dapat dilihat oleh mata kasar.
Selain itu kaki yang melangkah ke hadapan perlu diluruskan sejak mula menyentuh tanah sehingga berada dalam kedudukan menegak. – KOSMO! ONLINE














