KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM714,000 kepada keluarga rakyat Malaysia yang terjejas akibat tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu bagi meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, bantuan itu disalurkan menerusi dua inisiatif iaitu bantuan khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM540,000 dan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM174,000.
Menurut beliau, menerusi bantuan khas yang diluluskan Jemaah Menteri, waris kepada setiap seorang daripada 54 mangsa menerima RM10,000 secara sekali bayar (one-off).
Katanya, pelaksanaan bantuan berkenaan diselaraskan bersama Kementerian Kewangan (MOF).
“Selain itu, Perkeso turut menyalurkan bantuan berjumlah RM174,000 kepada 28 keluarga mangsa yang memenuhi syarat kelayakan sebagai pencarum.
“Bantuan itu merangkumi bayaran kewangan segera sebanyak RM3,000 bagi setiap keluarga serta faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, tertakluk kepada kelengkapan dokumen dan proses pengesahan kelayakan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memahami kesedihan dan kesukaran yang ditanggung keluarga mangsa, justeru berharap bantuan berkenaan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka.
Tambahnya, meskipun bantuan kewangan itu tidak mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap kebajikan waris dan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada penerima yang layak.
Tragedi berkenaan berlaku apabila runtuhan ais dan batuan glasier berhampiran Sungai Lhende di wilayah Tibet, China, mencetuskan aliran banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet sebelum merebak ke beberapa kawasan di Nepal, termasuk Daerah Rasuwa.
Bencana itu mengakibatkan kemusnahan kediaman, infrastruktur dan laluan perhubungan, selain menjejaskan operasi mencari dan menyelamat.
Pada peringkat awal insiden, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi sebelum proses pengesahan identiti serta penyelarasan bantuan dilaksanakan kepada keluarga yang terlibat.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan terus menyelaras tindakan susulan berkaitan kebajikan keluarga mangsa, termasuk memastikan proses penyaluran bantuan dan faedah Perkeso berjalan lancar.
Kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan turut diteruskan bagi memastikan waris yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE














