TAJUDDIN mewakili Marzuki ketika mendapatkan rawatan tradisional Islam daripada guru silatnya. – Janaan AI

Angkara sihir, duit gaji habis beri rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH penipuan seperti scam bukanlah perkara baharu di negara ini, malah berubah mengikut zaman selaras perkembangan teknologi semasa.

Dewasa ini, scammer yang menggunakan identiti orang terdekat dengan kita seperti ahli keluarga atau rakan untuk menipu menerusi telefon pintar sudah menjadi perkara biasa.

Namun kisah ingin diuar-uarkan kali ini bukanlah penipuan moden, sebaliknya cerita penipuan dengan modus operandi mistik yang berlaku lebih 30 tahun lalu.

Menurut seorang usahawan makanan dikenali sebagai Tajuddin Hassan, 54, dari Kuala Selangor, kisah penipuan yang ingin diceritakan melibatkan jiran sekampungnya, Marzuki.

“Kisah penipuan yang saya ingin ceritakan melibatkan Marzuki yang terkena sihir pengaburan akal oleh rakan sekerjanya.

“Sepanjang terkena sihir tersebut, Marzuki menjadi seperti lembu dicucuk hidung. Dia ikut sahaja kata-kata rakan sekerjanya itu,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Tajuddin berkata, sihir tersebut pada mulanya gagal dikesan kerana kesihatan fizikal Marzuki masih di tahap memuaskan.

“Segalanya terserlah apabila ibu Marzuki mengadu akan perubahan sikap anaknya yang tidak lagi memberinya wang belanja setiap bulan kepada saya.

“Ibu Marzuki pelik kerana anaknya itu memberi alasan tidak dapat memberi wang selama tiga bulan sebab ingin membantu sahabat,” katanya.

Ibu Marzuki pelik anaknya seakan mengutamakan sahabat tersebut lebih daripada darah daging sendiri.

Menurut Tajuddin, Marzuki sudah ‘dikuasai’ orang asing dan tidak mendengar lagi kata-kata ibu yang melahirkannya.

“Ibu Marzuki kenal rakan sekerja anak lelakinya itu kerana dia sering mengikuti Marzuki pulang ke rumah setiap kali bercuti.

“Ibunya hairan apabila Marzuki melayan kawannya seperti pekerja melayan majikan, sedangkan mereka berdua rakan sekerja yang mempunyai pangkat dan pendapatan sama,” katanya.

Lebih mengejutkan, Marzuki dilihat melayan makan minum sahabatnya itu dengan penuh hormat hingga ke tahap mencedok nasi dan mengambilkan lauk serta kuah.

Situasi tersebut mengundang rasa menjengkelkan kepada ibu Marzuki sehingga timbul persoalan anaknya sudah terkena ‘buatan orang’.

“Ibu Marzuki ingat anaknya yang kacak dan rakannya yang agak tampan itu mempunyai hubungan terlarang hingga layanan mesra diberikan anaknya tanpa jemu.

“Akhirnya, ketika ibunya berpeluang berbual dengan Marzuki semasa sahabatnya tidak mengikut pulang ke kampung, barulah segalanya terungkai,” jelasnya.

Marzuki memberitahu ibunya bahawa beribu-ribu ringgit telah diberi kepada kawannya itu sehingga dia sendiri tidak berwang. Marzuki keliru mengapa dia jadi begitu.

Berdasarkan cerita itu, ibu Marzuki kemudian meminta bantuan Tajuddin untuk memulihkan sihir pengaburan akal yang menguasai minda anak lelakinya itu.

“Ibu Marzuki minta saya bantu Marzuki daripada terus diperbodohkan sehingga kerugian ribuan ringgit.

“Ketika kejadian itu berlaku, saya sedang menuntut ilmu seni mempertahankan diri Melayu dengan guru dari Johor.

“Saya ajukan masalah melibatkan Marzuki kepada guru silat saya,” katanya.

Selepas segala masalah melibatkan Marzuki diceritakan oleh Tajuddin, guru silatnya menyatakan kesediaan untuk membantu. Namun upacara berubat perlu dilakukan pada waktu tengah malam.

“Sewaktu upacara rawatan perubatan tradisional itu berlangsung, saya duduk berhadapan dengan guru silat saya seolah-olah saya mewakili Marzuki.

“Suasana sangat menyeramkan di dalam bilik tersebut apabila guru saya terkumat-kamit mulutnya membaca tanpa kedengaran suara,” katanya.

Selepas 10 minit, gurunya memberi seketul kemenyan yang berada dalam bekas plastik kecil kepadanya.

Gurunya berpesan agar Tajuddin menyampaikan kemenyan tersebut kepada Marzuki untuk proses seterusnya.

“Antara pesanan guru saya, Marzuki perlu mandi dengan menggunakan air di dalam baldi yang diletakkan kemenyan tersebut.

“Dimulakan dengan bacaan bismillah dan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW.

“Pesan gurunya lagi, Marzuki sememangnya telah terkena ilmu yang menyebabkan dirinya seperti orang bodoh dan akan mengikut sahaja kemahuan kawannya itu,” ujarnya.

Tajuddin menjelaskan, gurunya turut berpesan agar Marzuki mencari mana-mana orang agama atau alim untuk mempelajari ilmu berlandaskan al-Quran dan sunah untuk lebih menguatkan imannya.

“Guru saya berpesan agar Marzuki tidak lagi berkawan rapat dengan sahabatnya itu. Ini bagi memastikan Marzuki tidak lagi menjadi mangsa sebarang bentuk penipuan,” katanya.

Ujar Tajuddin, hasil ikhtiar berubat dengan gurunya itu, Marzuki telah pulih dan tidak lagi menjadi ‘hamba’ kepada sahabatnya yang telah menggunakan sihir pengaburan akal.

Tambahnya, ketika bertemu Marzuki beberapa bulan selepas itu dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tajuddin yang ‘melepaskannya’ dari cengkaman sihir yang bukan sahaja merosak minda, malah menjejaskan hubungan dia dengan keluarganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN