PETALING JAYA- Seorang pengguna media sosial Threads mendedahkan dirinya termasuk seorang bayi berusia lima bulan terperangkap lebih satu jam dalam lif di pusat beli-belah Lalaport di ibu negara selepas gagal berinteraksi dengan pengawal keselamatan bertugas.
Menurut individu itu yang dikenali sebagai @asmiatunallia, kesukaran berkomunikasi dengan pengawal keselamatan bertugas itu susulan pekerja terbabit tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris.
“Semalam satu jam terperangkap dalam lift Lalaport, bahagian kecemasan setiap syarikat tolong ‘hire’ orang yang fasih Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebab kami dan banyak kali bunyikan loceng, tetapi pegawal keselamatan tidak fasih.
“Kena ambil orang yang boleh bagi maklum balas (segera), ada bayi usia lima bulan dalam lif semalam,” katanya dalam satu hantaran Threads hari ini.
Katanya, pasukan bomba juga dilaporkan berdepan kesukaran untuk mencari lif terlibat bagi melaksanakan proses mencari dan menyelamat.
“Ada kawan bagi tahu bomba kena pusing satu pusat beli-belah untuk cari lif kami. Tidak ada ke pengawal keselamatan yang tahu lif yang rosak.
“Bagaimanapun, tahniah kepada bomba kerana menyelamatkan kami, anda ialah hero kami,” katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai lif terkandas semalam pada pukul 1.06 tengah hari.
“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian didapati terdapat tujuh orang mangsa iaitu tiga lelaki dan empat perempuan terperangkap di dalam lif basement 2 zon G Lalaport Mall.
“Tindakan penyelamatan dilaksanakan bersama ‘maintanance lif’. Pasukan bomba tidak dapat maklumat sepenuhnya menyebabkan pasukan bomba lambat sampai di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














