PETALING JAYA– Bantahan penduduk Kampung Sungai Lang Tengah, Banting di sini terhadap penggunaan jalan kampung oleh lori lebih muatan sejak kira-kira lima bulan lalu seolah-olah tiada penghujung apabila sebuah kenderaan berat terbabit kemalangan semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, lori membawa muatan besi dipercayai gagal melepasi selekoh sebelum terbalik dan hampir keseluruhan kenderaannya terperosok ke dalam parit.
Walaupun tidak melibatkan kemalangan jiwa, ratusan batang besi yang dibawa lori berkenaan bertaburan di dalam parit sehingga kerja-kerja mengalihkannya mengambil masa lebih 12 jam selain menyebabkan jalan terpaksa ditutup.
Difahamkan, laluan bagi kenderaan berat sudah ditetapkan supaya tidak melalui jalan kampung berkenaan.
Ketua Kampung Sungai Lang Tengah, Noor Azura Mohamed Nasir berkata, beliau bersama ketua kampung berhampiran, penduduk serta agensi penguat kuasa sudah mengadakan empat pertemuan dengan pihak pemaju bagi mencari penyelesaian berhubung isu itu.
Menurutnya, perbincangan berkenaan bertujuan mencapai keputusan muktamad supaya lori membawa muatan berat tidak lagi menggunakan laluan kampung.
“Namun, sehingga hari ini masih tiada keputusan daripada mereka (pemaju) dan isu masih berlaku. Tarikh yang dijanjikan untuk mereka memberikan jawapan juga tiada maklum balas.
“Kemudian, berlaku pula kemalangan begini. Isu rumah penduduk rosak dan retak pun belum selesai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Noor Azura berkata, beliau turut menerima surat bantahan daripada tiga sekolah berhubung isu berkenaan kerana bimbang terhadap keselamatan pelajar.
Jelasnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sekadar isu menahan lori, sebaliknya membabitkan kebajikan dan keselamatan penduduk kampung.
Sementara itu, penduduk, Muhamad Saiful, 46, berkata, kejadian tersebut diharap dapat membuka mata pelbagai pihak terhadap masalah yang dihadapi penduduk.
“Apa yang kami kesan, lori-lori lebih muatan mula menggunakan jalan kampung pada awal pagi bagi mengelak dikesan penduduk.
“Sebelum ini, ada juga kes kenderaan berat melanggar saluran paip di tepi jalan, papan tanda serta landskap kampung,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Faiz Zulfadli Abd Fitri, 33, berkata, penggunaan kenderaan berat di laluan itu bukan sahaja membimbangkan penduduk, malah mengancam keselamatan pelajar ketika pergi dan pulang dari sekolah.
“Kami ditugaskan sebagai ahli jawatankuasa kampung untuk berjaga di simpang-simpang pada waktu malam bagi memantau perkara ini sebagai langkah keselamatan.
“Saya sangat berharap pihak pemaju dapat memberikan kerjasama dan memahami sensitiviti ini. Usah tunggu hingga berlaku kemalangan serius baru hendak bertindak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














