Pasukan forensik bomba melakukan siasatan di lokasi kebakaran di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu hari ini Foto oleh ROHANA MOHD.NAWI/KOSMO!

Wang bayar hutang, emas RM20,000 hangus dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang peniaga berputih mata apabila gagal menyelamatkan wang tunai dan barang kemas yang disimpan di dalam bilik selepas rumahnya terbakar di Kampung Kuala Besar, di sini, pagi tadi.

Siti Rohani Musa, 52, berkata, wang berjumlah RM1,500 itu akan digunakan untuk membayar pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan kutu selain dua bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai hampir RM20,000.

Menurut Siti Rohani, dia menyedari kebakaran selepas terhidu bau hangit sebelum ternampak percikan api pada fius utama kira-kira pukul 9 pagi tadi.

“Selepas ternampak api, saya bergegas keluar memberitahu anak saudara yang sedang tidur di rumah bersebelahan.

“Saya cuba masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil wang, barang kemas dan dokumen penting yang di dalam almari, tetapi keadaan rumah sudah hampir ranap dijilat api,” katanya ketika ditemui hari ini.

Siti Rohani berkata, ketika kejadian, dia bersendirian di rumah kerana suaminya, Abdullah Ibrahim, 60, keluar ke laut.

“Saya tinggal sehelai sepinggang. Saya bercadang untuk menumpang di rumah saudara terdekat untuk sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bmba dan penyelamat Kota Bharu, Che Mazlan Mohammad berkata, kebakaran melibatkan tiga buah kediaman termasuk sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan.

“Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal kebakaran. Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN