KUALA LUMPUR – Bukan Bangkok, bukan Jakarta, bukan juga Singapura sebaliknya Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi ‘persinggahan’ Evanescence di Asia Tenggara.
Selepas 14 tahun, penantian peminat akhirnya terubat dengan persembahan luar biasa Evanescence di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Amy Lee membuktikan mengapa dia masih berada dalam kelas tersendiri. Vokal yang memukau, karisma yang tidak pernah pudar dan penguasaan pentas yang cukup mengagumkan menjadikan malam tersebut sesuatu yang sukar dilupakan.
Kejayaan membawa Evanescence kembali ke Malaysia menerusi penganjur tempatan, Hello Universe, turut memperlihatkan potensi negara sebagai destinasi pilihan konsert bertaraf antarabangsa.
Kuala Lumpur bukan lagi sekadar persinggahan artis antarabangsa, sebaliknya semakin mencipta nama sebagai destinasi hiburan utama di rantau ini.
Antara detik paling menyentuh perasaan sepanjang konsert adalah ketika Lee memperkenalkan lagu Forever Without You yang disifatkan cukup peribadi kerana diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya sendiri.
Sebelum menyampaikan lagu berkenaan, Lee turut menitipkan pesanan mengenai keberanian melepaskan perkara yang membebankan diri serta kepentingan menghargai nilai diri sendiri.
“Jika ada lirik lagu ini yang menyentuh hati anda, anggaplah ini sebagai petanda untuk melepaskan perkara yang membebankan diri.
“Anda cukup kuat untuk melangkah pergi kerana hanya anda yang berhak menentukan nilai diri sendiri, bukannya orang lain.
“Saya tahu ia menakutkan dan langkah pertama untuk keluar daripada situasi yang tidak baik mungkin sukar. Namun, saya berjanji kehidupan selepas itu jauh lebih baik,” katanya.
Lee kemudian mengalunkan lagu Forever Without You sambil bermain piano sebelum kembali menghangatkan suasana menerusi lagu Bring Me To Life yang menjadi antara karya paling dinantikan peminat.
Selain itu, Evanescence turut mempersembahkan beberapa lagu daripada album Sanctuary, antaranya Afterlife, Rapture, Beautiful Lie, Tell Me When You’ve Had Enough, Who Will You Follow, Calm Down, Self Destruct dan Wide Open Heart.
Semalam, Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah. Malaysia menjadi tumpuan apabila Evanescence berjaya menghimpunkan kira-kira 17,000 penonton menerusi konsert mereka di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Konsert anjuran Hello Universe itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi persinggahan kumpulan tersebut di Asia Tenggara menerusi jelajah Sanctuary World Tour 2026.
Kehadiran 17,000 peminat itu sekali gus membuktikan pengaruh dan populariti Evanescence yang masih utuh dalam kalangan peminat muzik rock di Malaysia.
Sebelum ini, kumpulan yang diterajui vokalisnya, Amy Lee itu pernah mengadakan konsert di Malaysia pada Februari 2012 di KL Live dengan kehadiran lebih 3,000 penonton. – KOSMO! ONLINE














