SEJAK mendirikan rumah tangga dan kini tampil dengan imej berhijab, wajah Reen Rahim dilihat semakin jarang menghiasi layar seni tanah air.
Ramai peminat mula tertanya-tanya, sama ada Reen sudah mengambil keputusan untuk memperlahankan karier lakonan secara drastik demi memberi tumpuan penuh terhadap dunia perniagaan yang diusahakan bersama suami tercinta, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin.
Menjawab persoalan itu, pemilik nama lengkap Noreen Ashikin Abd. Rahim itu menegaskan tidak pernah sesekali terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan yang sudah sebati dalam jiwanya, sebaliknya akur dengan aturan rezeki yang ditetapkan Tuhan buat masa ini.
“Allah yang pilih jalan untuk saya sekarang sebagai usahawan. Sekiranya Allah bawa saya melalui kembali rezeki untuk berlakon, maka berlakonlah saya.
“Saya tidak pernah berhenti dan tidak akan berhenti. Saya juga tak pernah nak tolak tawaran berlakon.
“Sejak dahulu lagi, susunan kerja sudah terbaik, lepas tamat satu tawaran akan datang yang lain,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui perasaan rindu untuk kembali beraksi, wanita berusia 38 tahun itu tidak selektif dengan apa jua watak yang ditawarkan.
“Mak dan mak mentua saya pun rindu tengok saya berlakon tapi dia (ibu) tak nak tengok saya jadi watak-watak baik.
“Memanglah rindu sebab itu adalah minat saya. Banyak yang saya belajar dalam diri ini daripada bekerja di lokasi penggambaran. Kalau berjodoh dan ada tawaran yang baik, saya akan terima. Saya pun tidaklah memilih mana-mana watak,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu mendedahkan pernah menerima tawaran sebagai penyondol, namun rezeki tidak berpihak kepadanya.
“Cuma sebelum ini ada satu watak sebagai penyondol dan ketika itu saya baru sahaja bertudung.
“Saya berdoa jika terbaik, maka permudahkan. Namun, tawaran itu hanya berlalu, mungkin produksi dah nampak saya bertudung,” kongsinya selepas ditemui pada Nona Gala Awards 2026, baru-baru ini.
Dunia perniagaan
Pada acara tersebut, Reen dan suami turut melakar kenangan manis apabila merangkul pengiktirafan menerusi kategori Nona Empowering Couple In Business Award.
Mengulas mengenai cabaran mengemudi empayar perniagaan bersama isteri, Hazim menyifatkan proses menimba ilmu baharu sebagai pengalaman menyeronokkan biarpun perlu bermula dari bawah.
“Susah itu tak ada rasa susah, seronok sebenarnya banyak benda yang daripada tak tahu, jadi tahu. Kami ini dahulu kaki tak nak belajar, tiba-tiba dah tua kena belajar, memang seronoklah.
“Tak semua orang dapat pengalaman ini. Susah senang itu standard, tapi memang pengalaman yang menyeronokkan,” tutupnya.














