SKUAD Penyu gigih menjalani latihan dalam misi memburu kemenangan ke atas Negeri Sembilan hari ini. - FB TFC

Liga Super: TFC lega dua penyerang utama kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Kepulangan Romel Morales dan Gervane Kastaneer memberi motivasi tambahan kepada Terengganu FC (TFC) dalam misi memburu kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Paroi petang ini.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, kepulangan kedua-dua pemain itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan, khususnya bagi memperkukuhkan jentera serangan.

Menurutnya, pemain lain turut menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan meskipun persiapan pasukan sedikit terjejas berikutan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan hampir setiap petang.

“Persiapan kita sedikit terganggu disebabkan hujan yang berterusan tetapi kita masih mencari ruang dan masa yang sesuai untuk menjalani latihan.

“Kita mulakan latihan lebih awal dan turut menukar lokasi latihan. Hari ini (kelmarin) kita menjalani latihan di padang sintetik sebagai alternatif,” katanya.

Beliau sedar kedudukan pasukan ketika ini bukanlah yang terbaik dan sedia untuk memperbaiki pencapaian, namun kemenangan masih belum memihak kepada skuad Penyu.

“Pemain sebenarnya memberikan fokus sepenuh, cuma kemenangan itu belum di pihak kita dan harapnya perlawanan menentang Negeri Sembilan nanti kita dapat beraksi dengan baik dan memperoleh kemenangan,” ujar Nafuzi.

Pada masa sama, beliau mengakui, ketumpulan penyudah dan kelemahan benteng pertahanan menjadi dua aspek utama yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan TFC terus keciciran mata.

“Secara keseluruhan, prestasi permainan kita tidaklah teruk dan pemain juga tiada masalah. Cuma kita tidak menang, itu sahaja yang menjadi masalah ketika ini,” katanya.

Sebagai rekod, TFC kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul lima mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN