VALENCIA – Emosi menyelubungi pusingan penutup musim Grand Prix (GP) Valencia apabila lima pelumba berpengalaman MotoGP, Jack Miller, Alex Rins, Franco Morbidelli, Brad Binder dan Maverick Vinales, bakal melabuhkan tirai perjalanan masing-masing dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia hujung minggu ini.
Perlumbaan di Litar Ricardo Tormo itu menjadi penampilan terakhir mereka di grid MotoGP dengan Miller, Morbidelli dan Binder dijangka beralih ke Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) musim depan.
Nasib berbeza menimpa Rins apabila pelumba Sepanyol itu akan menamatkan kariernya dipentas perlumbaan dan masa depan Vinales masih menjadi tanda tanya.
Bagi Rins, aksi terakhir itu mengundang sedih selepas bertahun-tahun mengabdikan diri di pentas kejuaraan dunia, selain pernah melakar kemenangan bersama dua pengeluar berbeza.
“Segalanya menjadi sangat beremosi bagi saya. Biarpun tidak sempat bergelar juara dunia kelas perdana, saya berasa amat bertuah dan mahu menikmati setiap pusingan dengan senyuman kerana ini adalah perlumbaan terakhir saya,” luah Rins.
Morbidelli menyifatkan aksi di Valencia amat bermakna selepas mengharungi 13 musim dalam kancah Grand Prix, termasuk sembilan tahun di kelas MotoGP, yang disifatkannya sebagai perjalanan membanggakan buat dirinya dan keluarga.
“Begitu banyak kenangan indah buat diri saya, keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang membantu saya mencapai semua ini. Saya amat gembira dan berbangga dengan bagaimana segalanya berjalan, ia satu perjalanan yang cukup hebat,” ujarnya.
Sementara itu, pelumba Australia, Miller berazam memanfaatkan litar kegemarannya itu untuk menutup tirai saingan dengan keputusan manis selepas lebih sedekad berbakti bersama empat pengeluar berbeza.
“Apa yang paling membanggakan saya sepanjang lebih sedekad di MotoGP adalah peluang bekerjasama dengan ramai individu hebat di empat pengeluar berbeza, serta saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua bekas pasukan,” katanya.
Bagi Binder pula, perlumbaan di Valencia itu menjadi detik penuh emosi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga besar KTM yang disertainya sejak 2015, bermula dengan saingan Moto3, sambil merakamkan penghargaan kepada pasukan yang membentuk kariernya hingga ke puncak.
“Apa yang mampu saya ucapkan hanyalah terima kasih kepada KTM dan semua yang membantu saya sepanjang karier sehingga berada di tahap hari ini. Ia satu pengembaraan yang luar biasa,” kata pelumba Afrika Selatan itu. – AGENSI














