KUCHING – Hujan awal pagi dan langit mendung di beberapa bahagian Bumi Kenyalang menjadi latar pembukaan gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini, yang menyaksikan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan.
Di Kuching, cuaca mendung disertai hujan renyai menyambut ketibaan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengamal media, bakal calon dan penyokong di beberapa pusat penamaan calon awal pagi ini, antaranya bagi DUN Kota Sentosa, Tupong dan Gedong.
Keadaan cuaca sama turut dilaporkan di bahagian Sibu, manakala cuaca cerah dilaporkan di bahagian Miri serta di kawasan Lawas yang menempatkan DUN Bukit Sari.
Bagaimanapun, keadaan cuaca itu tidak mematahkan semangat penyokong untuk mengiringi calon masing-masing, dengan tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati suasana di pusat penamaan calon mula meriah seawal 6.30 pagi, dengan kehadiran penyokong pelbagai parti politik yang membawa bendera dan sepanduk.
Anggota polis dilihat mengawal rapi kawasan sekitar pusat penamaan calon, termasuk memasang penghadang keselamatan serta mengasingkan kumpulan penyokong mengikut parti, bagi mengelakkan sebarang insiden provokasi, selain memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Berdasarkan ramalan khas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini, sembilan bahagian di Sarawak dijangka mengalami hujan pagi ini, sementara Kuching, Serian dan Samarahan diramalkan cerah, manakala ribut petir pula diramalkan berlaku di seluruh negeri pada sebelah petang.
Proses penyerahan kertas penamaan calon akan berlangsung selama sejam bermula 9 pagi ini, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari, menjelang hari pengundian pada 12 Dis ini.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum ini mengesahkan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN, dalam misi mempertahankan mandat besar yang dimenangi pada PRN ke-12.
DAP pula mengesahkan akan memburu 14 kerusi DUN, sekali gus menjadikannya satu-satunya komponen Pakatan Harapan (PH) serta parti politik berpangkalan di Semenanjung, yang menyertai PRN Sarawak kali ini.
Selain GPS dan DAP, landskap saingan turut dijangka diwarnai penyertaan parti tempatan lain antaranya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain kemungkinan kemunculan calon bebas di beberapa kawasan.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis serta pasangan. – BERNAMA














