BERPULUH tahun bekerja, mengikat perut dan mengetepikan sebahagian pendapatan setiap bulan demi kehidupan lebih selesa selepas bersara musnah dengan hanya satu panggilan telefon.
Golongan pesara yang sepatutnya menikmati kehidupan lebih tenang dengan wang pencen atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kini berdepan ancaman buruan sindiket penipuan.
Hasrat untuk menjadi ‘orang kaya baharu’ akhirnya bertukar mimpi ngeri apabila wang ratusan ribu hingga jutaan ringgit lesap ke tangan penjenayah.
Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, sindiket penipuan hari ini tidak lagi bergantung kepada taktik konvensional, sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi, manipulasi emosi dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Asia Pasifik Perikatan Anti-Scam Global (GASA), Brian D. Hanley berkata, penggunaan AI telah mengubah landskap penipuan apabila teknologi berkenaan membolehkan sindiket memperluas operasi, mempercepatkan kegiatan serta meningkatkan keberkesanan taktik memperdaya mangsa.
“Teknologi seperti pengklonan suara dan video palsu (deepfake) membolehkan penjenayah menghasilkan penyamaran lebih meyakinkan sehingga orang ramai semakin sukar membezakan komunikasi tulen dengan penipuan,” katanya.
Menerusi laporan media, pesara mempunyai beberapa faktor kerentanan yang sering dimanipulasi penjenayah, antaranya mudah panik, keinginan menggandakan simpanan serta jurang literasi digital dan rasa malu selepas menyedari diri ditipu.
Penulis melihat sindiket sengaja mewujudkan situasi cemas dengan mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram, tunggakan cukai atau sindiket pengedaran dadah bagi ‘memancing’ pesara yang kurang arif mengenai prosedur perundangan.
Penasihat Asia Tenggara GASA, Rajeshpal Singh Sandhu ketika sesi perkongsian di ibu negara kelmarin mendedahkan rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan tinggi mempercayai pihak berkuasa seperti polis dan menteri.
Mengulas kaedah pemindahan wang, beliau berkata, sebanyak 47 peratus transaksi penipuan di Malaysia dilakukan menerusi pindahan terus antara akaun bank, jauh mengatasi purata Asia sebanyak 36 peratus.
Skala ancaman itu turut digambarkan menerusi statistik sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM7.33 bilion direkodkan dari 2023 hingga Oktober lalu dengan 75,266 individu ditahan manakala 69,665 pertuduhan dilakukan.
Pada Julai tahun lalu, seorang pesara berusia 56 tahun di Ipoh, Perak kerugian RM166,897.58 wang KWSP selepas diperdaya sindiket panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.
Terbaharu, September lalu, pesara syarikat minyak dan gas berusia 66 tahun kerugian RM1.417 juta melibatkan KWSP, simpanan Amanah Saham Berhad (ASB), Tabung Haji dan wang hasil gadaian emas selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan golongan pesara supaya lebih berhati-hati kerana dilihat kumpulan mudah didekati dan diperdaya sindiket. -KOSMO! ONLINE














