DESIANA (kiri) menenangkan ahli keluarga mangsa di pos Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di Nanggung, Bogor, Indonesia selepas hujan lebat mencetuskan banjir di sebuah lombong emas haram. - AFP

Indonesia hentikan operasi mencari pelombong hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 14 pelombong yang masih hilang susulan insiden lombong emas haram dinaiki air di Pulau Jawa awal minggu ini, secara rasmi dihentikan selepas operasi itu disifatkan terlalu berisiko kepada pasukan penyelamat.

Menurut pihak berkuasa, tragedi itu setakat ini telah meragut nyawa lebih sedozen pelombong

Ketua penyelamat, Desiana Kartika Bahari berkata keputusan menghentikan operasi itu dibuat berdasarkan penilaian pakar di lokasi kejadian yang mendapati keadaan muka bumi sangat tidak stabil.

“Pakar mengenal pasti resapan air dan kekuatan struktur tanah yang rendah meningkatkan risiko tanah runtuh serta runtuhan lubang lombong,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan mengepam keluar air boleh mengubah tekanan air bawah tanah, manakala kerja-kerja pengeluaran secara menegak pula berisiko menghakis bahan di sekeliling laluan evakuasi.

Keadaan di dalam lombong turut menyukarkan pergerakan apabila lumpur menyempitkan laluan selain bekalan oksigen yang sangat terhad, terutamanya di kawasan yang lebih dalam.

Menurut Desiana, kesemua mangsa terperangkap di dalam dua lubang lombong berterowong sempit dengan kedalaman mencecah sehingga 100 meter.

Insiden pada Isnin lalu itu berlaku apabila air dari sungai berhampiran melimpah susulan hujan lebat yang berterusan, menyebabkan air memasuki lombong dan membunuh 13 pelombong, manakala 14 lagi dipercayai masih terperangkap di bawah tanah.

Sementara itu, jurucakap polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan memaklumkan seramai 11 pelombong sempat menyelamatkan diri sebelum terowong ditenggelami air sepenuhnya, namun pihak berkuasa hanya menerima laporan mengenai mangsa lain yang terperangkap pada keesokan harinya.

Kemalangan di kawasan perlombongan bukan perkara asing di negara Asia Tenggara yang kaya dengan hasil mineral itu, terutamanya di tapak operasi haram yang sering mengabaikan aspek serta protokol keselamatan.

Pada tahun 2023, pasukan penyelamat turut gagal membawa keluar lapan pelombong yang terperangkap di dalam sebuah lombong emas haram yang dinaiki air di wilayah Jawa Tengah sebelum kesemua mangsa diisytiharkan hilang dan dianggap meninggal dunia.

Sebelum itu, enam individu maut di Pulau Sulawesi pada 2021 akibat runtuhan lombong emas haram, manakala sekurang-kurangnya 16 pekerja terkorban dalam kejadian serupa di pulau sama dua tahun sebelumnya. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN