SKUAD hoki negara bersedia mempertaruhkan segala-galanya bagi melakar kejutan menumbangkan gergasi dunia, Australia pada aksi final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam ini.
Keyakinan skuad Speedy Tigers hadir susulan kebangkitan berjaya mengikat Pakistan 5-5 pada aksi penentuan, sekali gus mengesahkan tiket ke pentas final buat kali pertama sejak kali terakhir menjulang trofi pada edisi 2022.
Penyerang sensasi negara, Faizal Saari menegaskan reputasi skuad Kookaburras yang berada di ranking ketiga dunia tidak sedikit pun menggentarkan pasukannya, sebaliknya bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Australia berada di ranking ketiga dunia, tetapi malam ini kami turun beraksi di gelanggang sendiri. Di pentas final, apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti. Kejayaan mengikat Pakistan membuktikan kami semua berjuang dari wisel bermula hingga minit ke-60.
“Jadi, saya sangat berpuas hati dengan prestasi kami walaupun berakhir 5-5 tetapi kami berjaya layak ke final,” tegas Faizal yang kini memimpin carta penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol.
Ketajaman pukulan gol Faizal yang meledak hatrik pada aksi penentuan ketika berdepan Pakistan sebelum ini bakal menjadi antara senjata utama negara untuk menguji pertahanan Australia yang terkenal dengan corak permainan berintensiti tinggi.
Selain Faizal, skuad negara turut mengharapkan kelincahan Azrai Aizad Abu Kamal serta kepimpinan kapten, Marhan Jalil bagi memperkukuh jentera serangan dan mengimbangi kekuatan gergasi Oceania itu.
Pertemuan itu juga menjadi peluang buat Speedy Tigers membalas kekalahan 2-4 kepada Australia sebelum ini, yang menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut skuad negara dalam kejohanan berkenaan.
Kini, tumpuan terarah kepada ‘pemain ke-12’ untuk membanjiri Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dalam usaha memberi sorakan padu bagi meruntuhkan keegoan Australia, sekali gus merebut trofi berprestij itu.














