Zakiyah (tengah) bersama ibu bapanya dalam Majlis Graduasi Haflah Takrimi di Akademi Al-Quran Amalillah di Shah Alam baru-baru ini.

Zakiyah hafaz 30 juzuk al-Quran dalam 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berbekalkan disiplin tinggi, kesungguhan dan sokongan keluarga, seorang remaja membuktikan usia bukan penghalang untuk mencapai impian apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam masa enam bulan 15 hari.

Lebih membanggakan, kejayaan Zakiyah Zaini, 18, itu dicapai menerusi rutin harian yang cukup mencabar apabila dia sanggup bangun seawal pukul 3.30 pagi untuk mengulang kaji dan memantapkan hafazan.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, tempoh enam bulan 15 hari berkenaan merujuk kepada tempoh pengajiannya di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) tidak terma­suk cuti persekolahan.

Menurutnya, perjalanan menghafaz al-Quran bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu memastikan sasaran hafazan harian sebanyak tiga hingga lima muka surat dapat dicapai selain mengulang kaji ayat yang dihafal.

“Biasanya saya akan bangun pada pukul 3.30 atau 4 pagi untuk menghafaz sebelum kelas bermula pada pukul 5.30 pagi. Selepas maghrib, saya akan mengaji dan mengikuti kelas tambahan hingga pukul 11 atau 11.30 malam,” katanya kepada Kosmo!.

Jelasnya, kesungguhan untuk mencapai sasaran itu turut didorong bimbingan murabbi dan murabiah yang sentiasa mengingatkan pelajar supaya tidak leka serta terus memperbaiki hafazan.

Zakiyah berkata, minat dalam bidang agama bercambah sejak kecil apabila ibu bapanya amat menitikberatkan pendidikan agama, termasuk memastikan dia dan adik-beradik menghadiri kelas mengaji sejak berusia lima tahun.

Bagaimanapun, sebelum menyertai Akmal ketika tingkatan empat, dia pernah mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz Al-Arabic Al-Gontory dari tingkatan dua hingga awal tingkatan empat.

Jelasnya, keputusan memilih laluan tahfiz juga banyak dipe­ngaruhi galakan ibunya yang le­bih menyokong minatnya dalam bidang agama.

Mengimbas perjalanan tersebut, Zakiyah mengakui pernah berdepan pandangan negatif apabila seorang pengetua sekolah lamanya mempersoalkan masa depannya sekiranya memilih untuk mendalami bidang tahfiz.

“Jangan takut dengan rasa ragu apabila kita mahu menuju ke arah kebaikan. Ujian memang akan sentiasa ada, sama ada dari­pada kata-kata orang atau kesukaran menjaga hafazan.

“Paling penting, jangan berhenti separuh jalan dan jangan pernah sombong untuk meminta pertolongan daripada Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN