KUCHING – Tumpuan politik tanah air hari ini terarah ke Bumi Kenyalang apabila semua 82 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dibuka serentak pada 9 pagi menandakan bermulanya secara rasmi gelanggang perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bakal-bakal calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada pegawai pengurus pilihan raya, sebelum senarai rasmi calon yang layak diumumkan.
Setakat 8 malam tadi, sebanyak 144 bakal calon daripada pelbagai parti politik serta Bebas mengumumkan penyertaan bagi merebut mandat rakyat di semua kerusi yang dipertandingkan.
Mereka terdiri daripada 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), 26 calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), masing-masing 14 calon DAP dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), tiga calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta lima calon Bebas.
Daripada jumlah itu, 37 kerusi hanya menyaksikan satu pencalonan setakat ini yang kesemuanya melibatkan GPS, manakala 31 kerusi menerima dua pencalonan, 13 kerusi (tiga pencalonan) dan satu kerusi (empat pencalonan).
Sejurus pengisytiharan rasmi selesai, tempoh berkempen selama 14 hari akan bermula hingga 11.59 malam pada 11 Dis menjelang hari pengundian 12 Dis ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Dis.
Tinjauan Bernama mendapati kehangatan hari penamaan mula dirasai seawal 7 pagi, apabila penyokong parti yang bertanding membanjiri pekarangan pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Petugas media juga “berkampung” sejak awal pagi bagi memastikan liputan menyeluruh penamaan calon PRN Sarawak.
Bagi memastikan kelancaran proses serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, anggota polis turut melaksanakan kawalan ketat di sekitar kawasan tumpuan berkenaan.
Keadaan cuaca pagi ini di kebanyakan kawasan termasuk Kuching, Serian, Miri dan Samarahan mendung dan hujan renyai, manakala beberapa tempat lain antaranya Sibu, hujan.
Pilihan raya kali ini menyaksikan 2,058,781 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka, merangkumi 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera bersama pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan. – BERNAMA














