KUALA LUMPUR – Pengalaman mengharungi cabaran sukan ketahanan sehingga menamatkan perlumbaan IRONMAN Malaysia 2026 menjadi peringatan buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebajikan diri.
Syed Saddiq berkata, penjagaan diri tidak seharusnya dipandang ringan, terutama dalam kalangan individu aktif termasuk atlet sukan ketahanan, mereka yang bersukan secara santai serta golongan yang bekerja di luar dalam cuaca panas.
Menurutnya, keperluan menjaga tubuh badan perlu diberi perhatian setiap hari bagi memastikan individu mampu menjalani aktiviti harian dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran rangkaian penjagaan diri CUURA Wellness di Open House, Jalan Stonor, di sini, baru-baru ini.
Mengulas pengalaman menyertai IRONMAN Malaysia 2026 di Langkawi pada 21 November lalu, Syed Saddiq berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 226 kilometer itu buat kali ketiga berturut-turut dengan catatan masa 12 jam 48 minit.
Malah, beliau mengakui berdepan cabaran fizikal apabila mengalami muntah dan kekejangan otot dalam baki 20 kilometer terakhir perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius.

Berdasarkan pengalaman tersebut, beliau menyarankan rangkaian CUURA Wellness, keluaran jenama tempatan CUURA, sebagai antara pilihan penjagaan diri buat individu yang menjalani gaya hidup aktif.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk Mood Series Boost yang mengandungi elektrolit dan kreatin bagi menyokong keperluan tubuh ketika melakukan aktiviti fizikal.
Selain itu, Ginger Turmeric Shot yang menggabungkan halia Bentong, madu tualang dan kunyit hitam turut mengetengahkan penggunaan ramuan tempatan.
Rangkaian berkenaan turut merangkumi Mood Series Reset yang mengandungi serat, prebiotik, probiotik dan postbiotik bagi menyokong kesihatan usus, selain Mood Series Dream dengan kandungan magnesium dan pandan untuk melengkapi rutin penjagaan diri.
Sementara itu, pengasas CUURA, Sarah Shahnor berkata, sokongan dan saranan Syed Saddiq amat bermakna memandangkan beliau sendiri memahami tuntutan fizikal yang perlu dihadapi individu dalam sukan ketahanan.
“CUURA bermula daripada masalah yang saya sendiri alami. Kami tidak pernah menjanjikan keajaiban. Kami ingin menghasilkan produk yang lembut, praktikal dan sesuai dengan kehidupan sebenar.
“Apabila seseorang yang pernah melalui IRONMAN menyarankan CUURA kepada semua individu yang aktif, hal itu amat bermakna bagi kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE














