fbpx
Gambar hiasan.

Dakwaan warga Israel: 266 individu di Forest City miliki dokumen sah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam naziran di sebuah komuniti antarabangsa di Forest City di Iskandar Puteri, Johor didapati memiliki dokumen yang sah berdasarkan rekod semasa.

Pemeriksaan itu dijalankan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

“Setiap kemasukan warganegara asing ke Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

“Pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia pada ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi Network School di Forest City, Iskandar Puteri susulan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM dan PDRM serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan secara menyeluruh.

Pada masa sama, Onn Hafiz berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Digital turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN