REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Azizul Hakim Mahdi mengakui berdepan tugas berat apabila mencabar penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempertahankan kerusi itu sejak 2004.
Bagaimanapun, doktor perubatan berusia 35 tahun itu yakin gabungan kekuatan calon muda, profesional dan prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan mampu membuka ruang kepada PH untuk mencipta kejutan.
Dr Azizul Hakim yang mewakili Parti Keadilan Rakyat berkata, beliau menghormati Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sebagai tokoh politik berpengalaman dan calon ‘heavyweight’ Barisan Nasional (BN).
“Kita tahu Rantau tidak pernah berubah sejak merdeka, sama ada diwakili MIC atau UMNO dan sekarang oleh calon penyandang. Kita menghormati beliau,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Azizul Hakim dengan Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO.
Menurut Dr Azizul Hakim, beliau tidak bergerak secara bersendirian, sebaliknya membawa kekuatan keseluruhan PH serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan (sebelum ini).
Katanya, antara kekuatan yang ditawarkan kepada pengundi adalah latar belakangnya sebagai doktor perubatan yang telah berkhidmat dalam bidang itu selama kira-kira 10 tahun dengan tiga buah klinik yang masing-masing terletak di Senawang, Puncak Alam dan Melaka. – KOSMO! ONLINE














