KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin gergasi yang akan dipasang di Dataran Merdeka pada awal pagi Isnin ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tayangan itu merupakan antara pengisian utama program Unity Merdeka yang berlangsung sejak semalam hingga Ahad ini hasil kerjasama Polis Kuala Lumpur dengan 16 kementerian.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum menerusi pelbagai aktiviti yang bermula pukul 8 malam esok sebelum kemuncaknya dengan tayangan perlawanan akhir Piala Dunia.
“Kita akan menyediakan skrin yang besar di Dataran Merdeka dan berharap dapat menarik kehadiran sehingga 300,000 orang untuk hadir menyaksikan perlawanan itu.
“Kita berharap orang ramai dapat memenuhi Dataran Merdeka, sekali gus membolehkan program berkenaan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Fun Run Unity Merdeka di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Terdahulu, program larian sejauh lima kilometer itu yang bertujuan mengeratkan hubungan antara pasukan polis dan komuniti di ibu negara disertai kira-kira 2,000 peserta.
Acara itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar serta 16 ahli Persatuan Wartawan Jenayah.
Bertemakan ‘Kepelbagaian Disatukan, Kesejahteraan Dikekalkan’, Unity Merdeka menghimpunkan pelbagai elemen merangkumi kebajikan, seni budaya, pendidikan, keagamaan, kekeluargaan dan hiburan yang terbuka kepada semua lapisan umur.
Antara tarikan lain ialah pameran serta reruai interaktif daripada pelbagai agensi keselamatan dan kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan. – KOSMO! ONLINE














