JELEBU – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan memberi penekanan penambahbaikan pelbagai segmen termasuk usaha meningkatkan pendapatan rakyat, menangani kos sara hidup, memperkasa peniaga kecil serta meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dokumen yang dijadual dilancarkan pada 24 Julai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu turut memfokuskan penambahbaikan dasar sedia ada dalam aspek pembangunan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, manifesto berkenaan dirangka bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai mandat lebih kukuh untuk melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Keselesaan rakyat di peringkat akar umbi menjadi penyumbang besar kepada kesejahteraan negeri. Sebab itu kita memohon mandat supaya kerajaan negeri dapat diuruskan dalam keadaan lebih selesa,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRN Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini hari ini.
Beliau berkata, manifesto BN akan dilancarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, cabaran utama kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini adalah memastikan persefahaman antara penyokong kedua-dua gabungan diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
Katanya, BN bertanding di 25 kerusi DUN, manakala baki kerusi ditandingi PN berdasarkan persefahaman yang dicapai. – KOSMO! ONLINE














