fbpx
NORHAYATI tetap tabah menjaga Junaidi yang menghidap pelbagai penyakit kronik sehingga tidak mampu lagi bekerja dan kebanyakan masa hanya terlantar di atas katil.

‘KWSP habis, jual 2 motosikal untuk tampung hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Seorang bekas pemandu sebuah syarikat swasta terpaksa menanggung ujian besar apabila diserang pelbagai penyakit sejak lebih setahun lalu sehingga menyebabkan dia hanya terlantar sakit di atas katil.

Penyakit yang menimpa Junaidi Ibrahim, 59, termasuk ken­cing manis, strok, darah tinggi dan batu karang dalam pundi hem­pedu turut menyebabkan lelaki itu tidak mampu menguruskan dirin sepenuhnya sehingga menjejaskan sumber rezeki keluarga.

Isteri Junaidi, Norhayati Daud, 55, berkata, semua urusan seharian suami perlu dibantu seperti mandi, disuap makan dan minum selain memakai lampin dewasa.

“Kesihatannya mula merosot sejak lebih setahun lalu kerana penyakit kencing manis yang semakin kronik

“Selain itu, ada juga tanda-tanda demensia selain percakapannya sukar difahami menyebabkan dia perlu diberikan tumpuan sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Salak, Tanjung Malim semalam.

Katanya lagi, mereka mempunyai lima anak yang telah ­bekerja dan mempunyai komitmen tersendiri.

“Salah seorang daripada anak kami ada penyakit autisme. Dahulu, saya boleh menampung hidup keluarga kerana berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual ais krim goreng dan kuih muih dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan.

“Tetapi kini, saya perlu memberi sepenuh perhatian terhadap suami sehingga terpaksa menjual dua buah motosikal iaitu Yamaha Y15ZR dan motosikal Kawasaki RR150 bawah harga pasaran untuk menampung kehidupan semasa,” katanya.

Tambah beliau, hasil jualan kedua-dua motosikal iaitu sekitar RM12,500 mungkin sekadar cukup untuk keperluan mereka sekeluarga sekitar enam bulan.

“Saya perlu membayar sewa rumah bulanan iaitu RM450 sebulan, bil utiliti, makanan seha­rian sekeluarga dan perbelanjan untuk pemeriksaan rutin suami di hospital serta klinik kerajaan.

“Duit KWSP suami telah habis, selain saya hanya seorang suri rumah tidak bekerja sebelum ini. Permohonan Perkeso untuk bantuan ilat masih dalam proses,” katanya.

Norhayati berkata, dia kini berperanan sebagai ketua keluarga­ selain perlu merancang dengan baik pada masa depan.

“Buat masa ini saya masih buntu cuma bersyukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin banyak membantu seperti lampin dewasa dan kotak makanan selain sumbangan beras secara berkala oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Salina turut berjanji untuk membantu perihal pencen ilat Perkeso atau bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya amat berharap dapat melepasi garis kesulitan ini,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan ke akaun Maybank 164472333805 atas nama Junaidi Ibrahim atau menghubungi Norhayati di talian 013-2818 248.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN