IPOH – Semangat kebersamaan antara bangsa yang menjadi kekuatan Malaysia serta membolehkan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tidak seharusnya diperkotak-katikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan negara mampu dicapai ekoran penyertaan semua bangsa ketika itu tidak kira Melayu, Cina, India, Iban mahupun Kadazan.
“Apakah mungkin kemerdekaan itu tidak bersama dengan Cina dan India dan suku-suku kaum lain? Tidak.
“Sebab itu anak-anak harus tahu, mahu memberi makna kepada kemerdekaan dan menjayakan negara ini, kekuatan Melayu harus ada, kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak, Kadazan itu juga harus ada.
“Jangan izinkan orang memperkotak-katikkan dan memecah-belahkankan kita kerana negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) di Tanjung Rambutan di sini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tidak seharusnya timbul mencari perbezaan antara kaum lebih-lebih lagi negara telah pun mencapai kemerdekaan sejak 69 tahun lalu.
“Apabila kita ada semangat (perpaduan) begitu, tak timbullah (isu mencari perbezaan). Tanah Melayu hampir 70 tahun (merdeka), lebih 60 tahun Sabah dan Sarawak bersama dalam Malaysia tetapi tak habis-habis (mencari perbezaan).
“Bukan bicara bagaimana nak angkat martabat, darjat rakyat dan negara tetapi kita sibuk bicara soal warna kulit, mata dan hidung, bicarakan perbezaan.
“Apakah perbezaan baru kita tahu? Tahun 2026 kita baru tahu ada Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan? Apa kita tidak tahu bila bapa-bapa kita mencapai kemerdekaan? Apa tidak ada penyertaan Melayu dan Cina, dan India, Iban dan Kadazan? Semua tahu,” katanya.
Justeru, beliau berkata tidak seharusnya perkara tersebut menjadi pertikaian dan menjadi punca untuk masyarakat berpecah-belah.
“Apakah kita boleh nafikan penyertaan semua? Tidak. Tidak boleh kita nafikan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mahu generasi hari ini untuk menyedari bahawa kekuatan negara adalah bersandarkan kepada kepelbagaian bangsa di Malaysia.
“Kalau mahu merdeka, mesti faham maksud bersekutu bertambah mutu. Unity in diversity (kesatuan dalam kepelbagaian). Bukan perkara baru. Moto kita itu unity in diversity,” katanya. – KOSMO! ONLINE














