fbpx
SKIM Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) Perkeso bertujuan menyediakan tambahan perlindungan kepada lebih 9 juta pekerja semasa di luar waktu bekerja. - GAMBAR HIASAN

‘Jangan sakit baru nak menyesal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AGAK panas isu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini selepas pelaksanaan yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Skim yang bertujuan menyediakan tambahan perlindungan kepada lebih 9 juta pekerja semasa di luar waktu bekerja itu ternyata membangkitkan rungutan serta bantahan daripada sebilangan pencarum.

Berapa yang ramai yang membantah dan tidak bersetuju belum dapat dikenal pasti. Riak-riak protes muncul di media-media sosial dengan bahasa-bahasa tersendiri, malah ada yang begitu kesat dan kasar seperti panasnya kempen Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.

Daripada pemerhatian, penulis percaya protes timbul selepas pencarum melihat kadar potongan yang terpaksa dibayar iaitu 0.75 peratus daripada gaji mereka. Bagi sesetengah orang, jumlah itu agak membebankan.

Potongan ini untuk dua tahun pertama sahaja. Potongan seterusnya 1.0 peratus bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25 peratus mulai tahun keenam dan seterusnya.

Sebelum pelaksanaan ini, kempen mengenai Lindung 24 jam telah dilaksanakan berbulan-bulan lamanya. Namun tidak ramai yang memberi perhatian, malah mungkin tidak ramai yang membaca, melakukan diskusi serta cuba memahami apa tujuan di sebalik pelaksanaan skim berkenaan.

Sekali lalu, skim Lindung 24 Jam Perkeso menyediakan lapan faedah demi kelangsungan hidup dan kebajikan pencarum serta keluarga mereka seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.

Selain itu, skim berkenaan menyediakan Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris pencarum.

Persoalan yang timbul adalah, kadar caruman tambahan berbanding caruman asas (Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerjaan) itu berbaloi atau tidak kepada seseorang pekerja.

Persoalan itu tidak ada sesiapa boleh menjawab kecuali tuan punya diri sendiri. Apakah kita ini sudah cukup perlindungan jika kemalangan ketika di luar waktu kerja. Sudah ada insurans perlindungan? Sudah ada kad rawatan perubatan?

Atau sudah ada simpanan kecemasan ketika kita kehilangan upaya bekerja? Begitu juga persoalan apakah kita berasa cukup selamat semasa bercuti bersama keluarga, perjalanan dan segala aktiviti semasa pulang ke kampung halaman, keluar membeli-belah, bersukan, beriadah dan sebagainya.

Oleh itu sebelum membuat sebarang keputusan menolak skim berkenaan adalah wajar setiap diri untuk berfikir dengan tenang dan membuat kajian dengan mendalam.

Kita tidak mengetahui apa yang berlaku pada hari esok, namun tidak salah membuat persediaan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini. Caruman adalah satu komitmen kerana tidak ada yang datang dengan percuma dalam kehidupan hari ini.

Ibarat kata, nak hidup perlukan duit. Mati pun kita masih perlukan duit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN