fbpx
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Raub hari ini.

Pemandu Hilux tidak mengaku rempuh penunggang motosikal hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB– Seorang pemandu trak pikap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dan membahayakan nyawa anak mangsa dalam nahas di Jalan Utama Mempaga.

Bagaimanapun tertuduh, Hairizal Ahmad, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hairizal didakwa memandu Toyota Hilux secara melulu dengan memasuki lorong bertentangan sebelum melanggar motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di simpang jalan sehingga menyebabkan kematian Zaiful Arimey Zainal Abidin, 33.

Kesalahan dilakukan pada pukul 10.25 malam, 14 Julai lalu di Kilometer 15 Jalan Utama Mempaga, di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong (Superb).

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Hairizal turut didakwa memandu secara melulu sehingga membahayakan nyawa anak mangsa, Putera Nik Zarif Aqil Zaiful Arimey, 6. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh diwakili peguam R. Vikraman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN