fbpx
Perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan sunah. - Gambar hiasan

Hukum halau pengemis dari premis perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA adalah seorang pengusaha kedai makan. Masalah yang saya ingin tanyakan berkaitan gejala pengemis. Sekarang ini, saya melihat gejala pengemis semakin berleluasa. Ada pengemis yang mengemis di premis saya sehingga mengganggu pelanggan yang sedang menjamu selera. Adakah dibolehkan untuk saya menghalau pengemis daripada memasuki premis? Adakah dikurangkan pahala sekiranya saya berbuat demikian kepada pengemis? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: BERSEDEKAH adalah amalan yang mulia. Suruhan berkaitan sedekah ini dinyatakan begitu banyak di dalam al-Quran dan sunah. Amalan bersedekah ini bahkan diganjarkan dengan pahala banyak bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam melakukannya.

Allah SWT berfirman: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah al-Baqarah: 245)

Syeikh al-Maraghi menyebut, orang yang kaya sememangnya mesti memberikan lebihan hartanya kepada orang yang di sekitarnya.

Sesuatu pinjaman tidak dikatakan pinjaman baik kecuali ia diberikan sesuai pada tempatnya, memenuhi keperluan dan dengan niat yang baik, supaya memberi manfaat baik kepada umat Islam menurut cara dibenarkan oleh Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/537-538)

Demikian dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Salam R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan dan sembahyanglah pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur. Maka kamu akan masuk kedalam syurga dengan selamat.” (Riwayat Ibn Majah, 1334 dan al-Tarmizi, 176)

Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadis ini sebagai hasan sahih.

Menjawab kepada persoalan di atas, perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis di premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan sunah. Ini kerana, amalan bersedekah adalah satu amalan yang mulia dan terpuji.

Adapun begitu, sekiranya seseorang itu tidak mahu bersedekah disebabkan tidak mampu atau apa jua alasan, maka tolaklah permintaan sedekah tersebut dengan sebaiknya.

Syeikh al-Maraghi menafsirkan bahawa ucapan yang baik dan menolak permintaan orang yang meminta sedekah dengan cara baik serta menutupi perbuatan orang yang meminta adalah lebih baik dan lebih besar faedahnya bagi kamu daripada kamu memberikan sedekah tetapi kamu iringi dengan sikap-sikap yang menyakitkan perasaan.

Ini disebabkan, sekalipun orang yang meminta kecewa kerana harapannya ditolak, tetapi pada hakikatnya kamu telah menggembirakan hatinya, bahkan dia tidak berasa malu kerana terpaksa meminta. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/604)

Syeikh al-Maraghi menyebut, janganlah kamu mengusir orang yang meminta-minta tetapi berilah sesuatu kalau ada. Kalau tidak, tolaklah dengan cara yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/ 7627)

Begitu juga bagi mereka yang mampu dan memberi sedekah kepada pengemis, mereka tidak boleh juga untuk mengungkit pemberian tersebut.

Kebajikan yang dilakukan tersebut bukanlah dikira sebagai satu lesen atau alat dalam melakukan keburukan kepada makhluk lain.

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa amalan bersedekah adalah amalan mulia dan amat digalakkan di dalam Islam.

Setiap Muslim perlu ada niat dalam dirinya untuk bersedekah dalam kadar kemampuan dirinya.

Perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan sunah.

Namun begitu, bagi mereka yang tidak mampu untuk bersedekah, maka tolaklah permintaan tersebut dengan cara yang terbaik. Jangan menggunakan kata-kata cacian dan kesat terhadap mereka yang meminta sedekah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN