fbpx
Zuraini menunjukkan sebahagian kuih tradisional dihasilkannya.

Perniagaan kuih tradisional ubah hidup Zuraini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan membuat kuih-muih tradisional secara kecil-kecilan di rumah, kini Zuraini Mamat sudah mempunyai kedai sendiri dan premis penyediaan kuih (production house).

Perniagaan diusahakan oleh wanita berusia 55 tahun itu dibantu oleh 30 orang pekerja, suami serta dua orang anaknya bagi memenuhi permintaan.

Zuraini yang dahulunya bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya pada 2002 untuk memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan menyokong perusahaan suaminya, Abdul Jamil Kandar.

“Anak-anak masih kecil dan kami pula sibuk bekerja ketika itu. Jadi, saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya pada tahun 2002 untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Ketika bekerja, saya ada mengambil kelas membuat kek, biskut dan kuih dengan niat untuk memberi anak-anak makan sahaja. Namun, saya tidak sangka ramai yang suka dan menempah kek serta biskut.

“Setelah saya berhenti kerja, tempahan kek dan biskut tidak diteruskan. Sehinggalah pada suatu hari, ada yang mencadangkan saya menghantar kuih di sebuah kafe di Putrajaya kerana menurutnya kuih saya buat sedap,” ujar Pengasas Rumahkueh Kakzu itu.

Menuruti saranan itu, Zuraini menghantar sample kuih seperti seri muka, kuih lapis, kole kacang dan bingka ubi ke kafe tersebut.

Siapa sangka, kuih-kuih itu berjaya menambat hati pemilik kafe tersebut.

Sejak itu, bermulalah kehidupan Zuraini sebagai pengusaha kuih. Dia perlu membuat 1,000 biji kuih setiap hari untuk di hantar ke kafe berkenaan.

“Pelanggan di kafe itu suka kuih-kuih saya, dan ada yang bertanya siapa yang buat? Dari situ, saya menerima tempahan untuk katering pula.

“Selepas itu, saya memberi tumpuan kepada tempahan katering sahaja, dan mula mengambil pekerja untuk membantu menyediakan kuih-muih dari rumah.

“Saban hari, permintaan semakin bertambah dan rumah yang saya duduki tidak mampu menampung jumlah kuih yang banyak. Jadi, saya menggunakan satu lagi rumah untuk dijadikan sebagai tempat membuat kuih,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Tambah pemegang Diploma Perbankan itu, permintaan yang luar biasa membuatkannya perlu menambah satu lagi rumah sebagai tempat menyediakan kuih pelanggan.

Bukan itu sahaja, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu membeli kuih dalam kuantiti sedikit, ia telah mendorong Zuraini untuk membuka kedai di hadapan production house pada 2018.

ZURAINI (tengah) bersama suami bergambar dengan petugas production house.

“Kuih-kuih saya semakin menjadi bualan ramai apabila saya suka kongsikan di Facebook, sehingga tidak menang tangan terima tempahan.

“Momen yang paling saya tidak boleh lupa adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan kuih melonjak tinggi,” katanya yang berasal dari Melaka dan dibesarkan di Selangor.

Selain itu, Zuraini membuka kelas pembuatan kuih tradisional sejak 2010 atas permintaan orang ramai yang tertarik dengan kuih-kuih yang dikongsikannya di laman sosial.

“Saya buat kelas secara bersemuka di studio sendiri dan pelajar-pelajar saya datang dari pelbagai negeri serta negara seperti Perancis dan Melbourne, Australia,” katanya yang tinggal di Kajang, Selangor.

Menariknya, kebanyakan pelajar-pelajarnya kini sudah berjaya mengusahakan perniagaan kuih sendiri.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan kuihnya, Zuraini berkata, dia membuka cawangan rasmi Rumahkueh Kakzu di Taman Sri Kenari, Kajang empat tahun lalu.

Ia bagi memberi keselesaan kepada pelanggan untuk makan di situ dengan pelbagai pilihan makanan seperti nasi lemak, laksa, mi kari, soto, bihun dan kuih.

Bercerita mengenai mengenai cabaran dalam perniagaan ini, Zuraini memberitahu, industri pembuatan kuih tradisional sangat renyah dan memerlukan pekerja yang ada kemahiran.

Namun, tidak ramai yang ada kemahiran itu, maka menjadi tugas Zuraini untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajarnya sehingga pandai.

“Selain itu, jangka hayat kuih tradisional terutama kuih basah tidak panjang, sehari sudah basi.

“Saya juga berdepan pelbagai kerenah pelanggan, tetapi itu tidak memudarkan semangat saya.

“Sebaliknya, saya mengambil pendekatan mengutamakan pelanggan dan cuba memperbaiki mana yang kurang,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN