ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi penguatkuasaan di 10 premis termasuk kedai makan di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu sejak semalam.
Serbuan Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Selera itu melibatkan 21 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan JIM negeri hasil risikan serta aduan awam berhubung kehadiran dan aktiviti warga asing di kawasan tersebut.
Menurut JIM Kedah, operasi bermula pukul 10 pagi itu melibatkan pemeriksaan di 10 premis dengan seramai 87 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 42 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, tinggal melebihi tempoh sah laku pas, menyalahgunakan pas lawatan atau pas kerja, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan serta melanggar syarat pas ditetapkan,” katanya.
Katanya, tangkapan membabitkan tujuh lelaki Bangladesh; 15 lelaki dan seorang wanita Indonesia; seorang lelaki dan dua wanita Thailand serta 13 lelaki dan tiga wanita Myanmar yang kesemuanya berusia antara 22 hingga 54 tahun.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang, manakala empat Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














