PUTRAJAYA – Reda berdepan situasi tidak dijangka, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menghormati Mahkamah Rayuan yang menangguhkan keputusan rayuan kesnya hari ini ke 13 Julai depan.
Akui ahli politik berusia 33 tahun itu, beliau sedia melalui prosiding mahkamah kerana tidak pernah mengharapkan layanan istimewa atau jalan pintas dalam usaha membersihkan nama, integriti dan maruahnya.
“Saya hormati keputusan Yang Arif Hakim dan saya hormat institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya yang ingin mendapatkan keadilan.
“Bukan melalui jalan pintas atau dapat layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berasaskan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri.
“Saya faham perkara ini memang tidak dijangkakan sebab itu agak sukar untuk saya berikan apa-apa komen atau ulasan.
“Ini bukan sesuatu yang kami rancang dan bukan juga dalam jangkaan kami,” katanya kepada media di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, selepas selesai prosiding pagi tadi.
Ditanya sama ada beliau kecewa dengan penangguhan itu, Syed Saddiq hanya memberikan respons bahawa beliau sangat menghormati keputusan mahkamah.
Katanya, tumpuan ketika ini adalah untuk mendapatkan keadilan di mahkamah dan bukannya menyentuh hal peribadi atau perkara lain.
“Saya akan terus berbincang dengan pasukan peguam serta ahli keluarga sepanjang tempoh menunggu keputusan.
“Saya berharap akan ada penyelesaian muktamad hari ini, terutama selepas enam tahun yang memenatkan, malah pada tahap tertentu, tahun-tahun yang mengerikan dalam mengejar keadilan itu sendiri.
“Jadi saya perlu menunggu dua minggu lagi dan saya akan fokus bersama peguam saya dan keluarga untuk mendapatkan keadilan yang kami cari di mahkamah terlebih dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan keyakinannya untuk terus berjuang tidak pernah berubah sejak hari pertama disiasat kerana percaya dirinya tidak bersalah.
“Dari hari pertama saya disiasat, malah sebelum saya didakwa sepenuhnya di mahkamah, saya yakin bukan kerana politik atau kerana saya tahu saya boleh melepaskan diri, tetapi kerana saya tahu hati nurani saya bersih.
“Adalah jauh lebih mudah untuk berjuang dalam perjuangan yang baik apabila anda tahu hati nurani anda bersih,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE














