fbpx
Enam PATI Myanmar dicekup sejurus mendarat di Pantai Sungai Belati, Simpang Empat dekat Kangar kelmarin.

Kaki baru cecah tanah, sudah kena cekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Cubaan enam lelaki warga Myanmar menyeludup masuk ke negara ini menggunakan bot pancung gagal apabila mereka dicekup di pesisiran Pantai Sungai Belati, Simpang Empat dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 19 hingga 38 tahun itu ditahan dalam Op Taring Landai kira-kira pukul 8.30 malam.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota menjalankan serbuan di kawasan pesisiran Pantai Sungai Belati sebelum menahan enam lelaki warga Myanmar yang berada di kawasan berbatu di tebing pantai.

“Pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang pasport atau dokumen perjalanan yang sah ketika diminta pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan bot pancung dari negara jiran sebelum ditinggalkan di kawasan pesisiran pantai sebagai lokasi menunggu.

“Mereka dipercayai sedang menunggu individu yang akan mengambil dan membawa mereka ke lokasi pekerjaan sebagai buruh ladang di negara ini. Bagaimanapun, semua suspek mendakwa tidak mengetahui destinasi sebenar kerana segala urusan dikendalikan ejen,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN