KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mengambil kira pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak negara.
“FAM yakin pengalaman, kepakaran dan pengetahuan beliau (Cheng Hoe) mengenai bola sepak tempatan akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya,” menurut kenyataan FAM.
Untuk rekod, Cheng Hoe merupakan antara jurulatih tempatan berpengalaman di negara ini dengan memulakan karier kejurulatihan sebagai Penolong Jurulatih skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum mengisi jawatan Penolong Jurulatih skuad B-23 kebangsaan mulai 2009 hingga 2010.
Cheng Hoe turut menggalas tugas sebagai Penolong Jurulatih pasukan kebangsaan dari 2009 hingga 2013 dan kembali berkhidmat pada tahun 2017 sebelum secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya bermula Disember 2017 hingga Disember 2021.
Antara kejayaan manis yang diraih beliau adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku Ketua Jurulatih.
Di peringkat liga domestik, Cheng Hoe mencipta kejayaan gemilang apabila membantu Kedah menjuarai Liga Premier 2015, seterusnya memenangi Piala Malaysia 2016 serta Piala Sumbangsih 2017.
Selain mencipta nama bersama Kedah, Cheng Hoe turut pernah membimbing Selangor pada tahun 2022 hingga 2024 sebelum berkelana ke Thailand apabila menerajui kelab Police Tero FC.
Pada April 2025, jurulatih berusia 58 tahun kelahiran Alor Star, Kedah ini kembali berkhidmat di FAM apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.
“FAM berharap pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim pasukan kebangsaan akan kembali memberi suntikan baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di peringkat Asia dan antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














