PONTIAN – “Barang kemas RM50,000 yang disimpan di dalam tin biskut selamat, manakala wang tunai RM30,000 hasil untung berniaga dan pemberian anak disimpan di bilik lain hangus.”
Demikian ujar Marhana Kasmani, 59, selepas rumahnya di Kampung Parit Pinang, di Benut, hangus dalam kebakaran pada Selasa lalu.
Mengimbau kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, Marhana berkata, dia bersama seorang anak sedang berniaga di warung yang terletak di hadapan rumah sebelum api kelihatan dari bahagian belakang rumah.
“Api merebak dengan begitu cepat kerana cuaca panas dan kering. Ketika kejadian pula suami yang berkerja sebagai pemandu lori berada di Melaka menghantar barangan pelanggan, manakala dua lagi anaknya berkerja di Pontian dan Tanjung Bin.
“Orang ramai yang berada dilokasi kejadian berjaya menyelamatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta daripada hangus dijilat api,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, kejadian mengakibatkan dia bersama lima ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang selain dokumen penting seperti kad pengenalan, buku akaun bank, geran tanah dan sebagainya hangus. – KOSMO! ONLINE














