Tunku Azizah berkenan duduk bersama graduan lain ketika berangkat ke Sidang Pertama Majlis Konvokesyen UIAM ke-42 di Kampus Gombak hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

‘Saya duduk bersama saudara, saudari sebagai pelajar’ – Tengku Ampuan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – “Saya masuk ke dewan ini sebagai Tengku Ampuan Pahang. Saya duduk bersama saudara dan saudari sebagai seorang pelajar. Saya melangkah ke pentas ini bersama rakan-rakan graduan dan menerima skrol daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, sama seperti graduan yang lain.”

Demikian titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas baginda mencuri perhatian apabila berkenan duduk sebaris dengan graduan lain sebagai seorang pelajar pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di sini hari ini.

Tunku Azizah bertitah, tindakan baginda beredar daripada rombongan diraja dan mengambil tempat di celah barisan graduan sarjana bukan satu kesilapan protokol, sebaliknya melambangkan dua peranan berbeza yang dipikulnya pada majlis berkenaan.

Titahnya, baginda memasuki dewan bersama suami tercinta, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mengurniakan ijazah kepada baginda sendiri dan para graduan.

“Kemudian, saya kembali ke tempat duduk saya di atas pentas ini sebagai Ketua Perlembagaan UIAM,” titah baginda.

Baginda bertitah, kedudukan di atas pentas melambangkan jawatan yang diamanahkan, manakala jubah sarjana yang dipakai mencerminkan kelayakan akademik yang diperoleh menerusi usaha sendiri.

Malah, baginda berseloroh bahawa meskipun Senat universiti sudah meluluskan pengijazahannya, baginda masih belum boleh mendapatkan transkrip akademik selagi yuran tertunggak belum dijelaskan.

“Maka, pada hari yang istimewa ini, saya berdiri di hadapan anda semua sebagai Ketua Perlembagaan universiti ini dan, dengan rasa bangga serta rendah hati, sebagai salah seorang graduannya,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Azizah berjaya menamatkan pengajian menerusi kajian baginda bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’ atau ‘The Hukum Kanun Pahang: A Study of Sovereign Malay-Islamic Constitution’.

Titah baginda, falsafah pemerintahan yang berteraskan kebijaksanaan, akhlak dan amanah bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi Melayu-Islam, malah telah lama terkandung dalam manuskrip sejarah seperti Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang.

Tengku Ampuan Pahang bertitah, penelitian terhadap kedua-dua manuskrip itu memperlihatkan gambaran sebuah taman yang membawa makna lebih mendalam dalam tradisi keilmuan Melayu-Islam.

“Namun, ketika mengkaji Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang, saya mendapati bahawa gambaran sebuah taman membawa makna yang jauh lebih mendalam dan telah lama berakar dalam tradisi keilmuan Melayu-Islam kita,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah dalam Hukum Kanun Pahang menyatakan, “Raja-raja itu ibarat seorang pekebun yang mengusahakan sebuah taman. Setiap pohon ditanam di tempat yang paling sesuai baginya.”

Titah baginda, petikan itu menerangkan bahawa seorang pekebun yang bijaksana tahu apa yang patut ditanam dan di mana tempatnya.

“Setiap pohon hendaklah memberi buah, wangian, teduhan atau khasiat penyembuh. Jika sebatang pohon sudah tidak memberi manfaat, malah memudaratkan taman, pohon itu hendaklah dicabut dan digantikan.

“Melalui nasihat tentang pohon dan taman ini, terserlah suatu falsafah pemerintahan,” titahnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN