KIM Swee (lima dari kanan) bergambar bersama pucuk pimpinan baharu PJBM bagi penggal 2026-2030.

Kim Swee kekal terajui PJBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee terus mendapat mandat untuk mengisi jawatan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2026-2030.

Kim Swee yang juga mantan pengendali Harimau Malaya menganggap kehadiran hampir 200 ahli pada pemilihan persatuan itu adalah jumlah tertinggi dalam sejarah pemilihan badan induk berkenaan.

Secara tidak langsung, ia adalah isyarat jelas bahawa jurulatih mahukan perubahan lebih baik dalam landskap kejurulatihan negara dan sedar kepercayaan ini hadir bersama tanggungjawab besar.

“Ini merupakan tugas wakil ataupun ahli Exco yang baharu untuk memastikan kita tidak meninggalkan aspek penting yang perlu diberikan semula kepada ahli, selain melaksanakan lebih banyak program terutama dari segi pendidikan kejurulatihan.

“Saya percaya itu yang mereka inginkan dan pada masa sama kita perlu bekerjasama dengan banyak pihak. Saya juga berharap penaja dapat tampil membantu,” katanya.

Pada pemilihan hari ini, Kim Swee memperoleh 142 undi untuk mengatasi dua pencabarnya, Datuk Richard Nelson Scully (28 undi) dan Azlan Johar (23 undi).

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu diperkukuh memandangkan PJBM tidak mampu melaksanakan semua perancangan secara bersendirian.

Jelasnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman bagi membincangkan hala tuju dan pelaksanaan program yang boleh digerakkan secara bersama selepas ini.

“Kerjasama antara kita dan FAM memainkan peranan amat penting kerana banyak program selepas ini yang tidak boleh kita lakukan sendiri.

“Saya berharap ahli PJBM memahami situasi kita dan percaya FAM akan membantu persatuan ini dalam melaksanakan lebih banyak program pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN