NEW DELHI – Perkahwinan anak perempuan seorang ahli politik di Bihar yang merupakan antara negeri termiskin di India mencuri tumpuan apabila dihadiri oleh lebih 400,000 tetamu baru-baru ini, lapor saluran berita The Independent.
Majlis perkahwinan Shivangi Singh, anak perempuan kepada ahli politik berpengaruh Anant Singh, dengan pasangannya Rishikesh Kumar, berlangsung dalam suasana penuh gah di kampung Nadawa.
Singh merupakan ahli dewan undangan negeri Bihar sebanyak enam penggal, dilaporkan menghantar kira-kira 400,000 kad jemputan ke seluruh negeri itu, bahagian lain di India serta ke luar negara termasuk Pakistan.
Bagi menampung kehadiran ratusan ribu tetamu yang tiba menggunakan kereta api, bas, kenderaan persendirian mahupun berjalan kaki, pihak penganjur membawa masuk 500 orang cef dan tukang masak untuk menyediakan lebih 150 jenis juadah tradisional Bihar dan masakan dari seluruh India.
Antara sajian yang disediakan termasuk kira-kira 500,000 biji manisan tradisional serta 1,000 kilogram daging kambing yang dimasak menjadi pelbagai hidangan kebab dan kari.
Lokasi majlis turut dihiasi gubahan bunga mewah yang diimport khas dari China, selain perancangan pertunjukan bunga api.
Pihak penganjur turut membina beberapa helipad sementara bagi memudahkan ketibaan tetamu kenamaan (VIP) dari seluruh negara.
Sebanyak 52 ekor kuda berserta penunggang dari Bihar, Uttar Pradesh, Jharkhand, Rajasthan dan beberapa negeri lain turut dibawa khas bagi memeriahkan majlis. – AGENSI














