PETALING JAYA – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memohon maaf atas kekhilafan berhubung segmen persembahan hiburan semasa Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu baru-baru ini.
UniKL dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum keprihatinan masyarakat berhubung segmen persembahan berkenaan.
Menurutnya, UniKL sebagai institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebahagian daripada Kumpulan Mara Corp memandang serius perkara tersebut serta bertanggungjawab sepenuhnya atas teguran Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Majlis Konvokesyen adalah upacara kemuncak pengiktirafan ilmu yang wajar dipelihara adab dan kesantunannya.
“Oleh yang demikian, UniKL memohon maaf atas kekhilafan tersebut dan akan membentangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada pihak Mara dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, UniKL turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh graduan Konvokesyen Ke-23.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Asyraf Wajdi menegur penganjuran Majlis Istiadat Konvokesyen UniKL yang berkonsepkan hiburan ala konsert kerana dianggap tidak wajar dan tidak beradab.
Menerusi perkongsiannya di media sosial, beliau berkata, majlis konvokesyen merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu yang perlu dipelihara nilai kesopanan serta adabnya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














