JEMPOL – Seorang pemuda yang pernah mendapat 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini boleh berbangga apabila menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.77.
Tang Rui Cong, 24, berkata, dia teruja apabila anugerah itu disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 15 November lalu dengan ijazah kelas pertama.
Anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak pernah membayangkan mampu meraih anugerah tertinggi universiti itu, lebih-lebih lagi selepas melalui perjalanan pendidikan yang tidak semudah disangka selepas SPM.
“Oleh kerana percaya keputusan SPM bukanlah penentu segalanya, saya cekalkan hati dan buktikan saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang.
“Selepas gagal ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, saya pilih tingkatan enam di SMK Datuk Mansor, Bahau. Saya dapat PNGK 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebelum ke UUM,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Rui Cong, kejayaan yang diraih itu disebabkan oleh sokongan guru serta ibu bapanya yang merupakan penyelia tapak pembinaan dan suri rumah.
Tambahnya, dia tidak sangka mampu menggenggam ijazah kelas pertama dan menerima pingat emas, sedangkan dia hanya memperoleh 3A SPM.
“Kepada pelajar yang kecewa dengan keputusan peperiksaan, jangan sesekali berputus asa kerana satu keputusan tidak menentukan masa depan. Selagi kita terus berusaha, peluang untuk berjaya sentiasa ada,” katanya.














