BALING – Penduduk sebuah kampung di sini gempar dengan penemuan seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dalam laci sarang kelulut di sini petang tadi.
Ketua Kampung Batu Tujuh, Kampung Binjul Luar, Kuala Ketil berkata, Suharta Tijoo, 58, berkata sekitar pukul 5 petang, penyewa homestay berhampiran rumah abang iparnya terserempak dengan seekor ular tedung selar ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah kenduri.
“Mereka ternampak ular tedung selar itu mengejar seekor biawak lalu mereka mengekorinya sehingga ular itu masuk ke dalam reban ayam kemudian ular itu keluar semula dari reban ayam terus masuk ke dalam laci sarang kelulut yang berada berhampiran tepi rumah abang ipar.
“Penyewa homestay segera beritahu abang ipar dan mereka bersama beberapa orang penduduk kampung mengawasi pergerakan ular tedung selar itu sementara menunggu kehadiran anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia datang untuk menangkap ular berbisa itu,” kata Suharto.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Lt. (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mereka menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 5.30 petang dan lima anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.
Operasi dijalankan dalam keadaan terkawal dan tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam mahupun anggota operasi dan tamat sepenuhnya pada pukul 6.46 petang. – KOSMO! ONLINE














