KOTA KINABALU – Selangor FC mendaki ke puncak Liga Super selepas menewaskan Sabah FC 4-2 dalam aksi di Stadium Likas, sebentar tadi.
The Red Giants kini mengumpul mata maksimum daripada tujuh aksi awal untuk merampas kedudukan teratas daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Segalanya tampak sempurna buat Selangor FC apabila berjaya membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Vitor Pernambuco, namun beberapa peluang selepas itu gagal disudahkan dengan lebih baik.
Sabah FC juga bergelut mencari ketajaman di hadapan gawang lawan sehingga menyaksikan babak pertama berakhir dengan Selangor FC mendahului 1-0.
Hanya lapan minit selepas babak kedua bersambung, Selangor FC kembali menggandakan keceriaan apabila Hugo Boumous meledak gol kedua, namun jaringan itu seakan menyuntik semangat baharu buat The Rhinos.
Sabah FC akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ke-61 menerusi Gonzalo Di Renzo sebelum Mohd Fayadh Mohd Zulkifili Amin mempamerkan ketenangan untuk merobek gawang pelawat buat kali kedua, 10 minit kemudian.
Namun, kegembiraan tuan rumah hanya bertahan dua minit apabila Quentin Cheng kembali meletakkan Selangor FC di depan.
Walaupun Sabah FC mempamerkan aksi positif untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata, segala usaha mereka akhirnya menemui noktah apabila pemain gantian Selangor FC, Muhammad Aliff Yuslan meledak gol keempat bagi memastikan The Red Giants pulang dengan tiga mata berharga. – KOSMO! ONLINE














