KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai barangan e-waste dan pelbagai peralatan berkaitan termasuk minyak diesel bernilai kira-kira RM6.489 juta dalam satu serbuan di sebuah kilang dekat Lebuh Raya Tun Abdul Razak di Gambang semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya telah melakukan serbuan ke atas kilang berkenaan kira-kira pukul 3.10 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan terhadap kilang menemukan 400 liter minyak diesel, satu unit penyedut minyak , lima guni jumbo ‘pc motherboard’, 15 guni jumbo barang-barang elektronik, satu guni jumbo ‘cooper’, 8.000 liter minyak ‘transformers’, 40 guni jumbo ‘lantern HPSV’, 30 unit ‘switchgear RMU.SW’ dan 10 unit ‘IBC Tank’ 1,000 liter.
“Pengurus kilang gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang berada di kilang tersebut,” katanya di sini .
Menurutnya, pihaknya telah menahan pengurus kilang dan barangan berkaitan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Barangan rampasan berkaitan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan dan siasatan lanjut manakala rampasan berkait barangan e-waste akan diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang untuk tindakan dan siasatan lanjut
“Pihak Majlis Bandaraya Kuantan akan menyita semua barangan yang berada di kawasan kilang kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan permit yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














