JOHOR BAHRU – Seorang anak dara ditangkap berkhalwat dengan seorang duda di dalam bilik sebuah rumah kedai di Iskandar Puteri setelah serbuan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sini, awal pagi tadi.
Serbuan pada pukul 1.55 pagi oleh penguat kuasa JAINJ menemui pasangan terbabit yang masing-masing berusia 31 dan 51 tahun tinggal bersama di dalam bilik tanpa sebarang ikatan sah setelah menerima aduan daripada orang awam.
Menurut JAINJ, pintu bilik hanya dibuka selepas tiga minit diketuk dan terdapat seorang lelaki didalam dengan hanya berseluar pendek, manakala anak dara hanya berkemban paras dada.
“Kedua-dua mereka berasal dari Perak dan telah mengenali antara satu sama lain selama 10 tahun sebelum sama-sama berhijrah mencari pekerjaan di Johor. Bilik tersebut merupakan bilik untuk pekerja perempuan.
“Apabila ditanya mengapa tinggal bersama, lelaki tersebut memberitahu dia tidak mampu untuk menyewa bilik kerana telah hilang pekerjaan beberapa bulan lalu dan masih belum dapat kerja yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
JAINJ berkata, pasangan terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru bagi tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














