fbpx
GAMBAR HIASAN

Op Soga IV: 868 serbuan, 1,156 kaki judi dicekup di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur memperhebat Op Soga IV sempena Piala Dunia 2026 apabila melaksanakan 868 serbuan berkaitan perjudian dan pusat panggilan haram yang membawa kepada penahanan 1,156 individu sejak 1 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi yang dijalankan sehingga semalam itu merangkumi pelbagai bentuk perjudian termasuk pertaruhan bola sepak, perjudian dalam talian, judi nombor ekor haram serta perjudian dalam dan luar bangunan.

Menurutnya, sebanyak 22 serbuan berkaitan pertaruhan haram bola sepak dilaksanakan dengan 24 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan dan perjudian dalam talian.

“Dalam operasi berkenaan, polis merampas wang tunai RM25,020 selain merekodkan nilai pertaruhan sebanyak RM96,878.58 dan HKK32,799.75,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi membanteras perjudian dalam talian, polis menjalankan 322 serbuan yang membawa kepada penahanan 341 individu selain merampas wang tunai RM1,015 bersama pelbagai peranti elektronik.

Katanya, sebanyak 486 serbuan berkaitan judi nombor ekor haram dijalankan dengan 487 individu ditahan, manakala wang tunai RM4,886, 451 telefon bimbit dan 45 kertas pertaruhan dirampas.

“Bagi aktiviti perjudian dalam bangunan pula, 16 serbuan dilakukan dengan 146 individu ditahan. Polis merampas wang tunai RM10,842 selain pelbagai peralatan perjudian seperti cip, daun terup, kad permainan, batu mahjong dan dadu.

“Satu serbuan perjudian luar bangunan pula membawa kepada penahanan enam individu dengan rampasan wang tunai RM770 serta satu set daun terup,” katanya.

Fadil berkata, polis turut menumpukan operasi terhadap premis yang dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan bagi kegiatan menyalahi undang-undang apabila 21 serbuan dijalankan sehingga membawa kepada penahanan 152 individu.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan di bawah Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau penipuan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN