KULIM – Tindakan mencurigakan sepasang kekasih yang dilihat berulang kali keluar masuk tandas sebuah surau di Kampung Tok Rasul, Kilang Lama di sini akhirnya membongkar perbuatan tidak bermoral mereka apabila dicekup awal pagi ini.
Remaja lelaki berusia 18 tahun dan perempuan berusia 15 tahun ditahan penduduk kampung ketika berada di tandas tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pasangan terbabit dicekup selepas kegiatan mereka dihidu penduduk kampung yang curiga dengan kehadiran mereka di kawasan surau pada lewat malam.
Katanya, orang awam yang berniaga berhampiran lokasi memaklumkan telah beberapa kali melihat pasangan tersebut memasuki kawasan surau pada awal pagi sehingga menimbulkan syak wasangka.
“Penduduk yang membuat pemeriksaan mendapati pasangan itu berada di dalam tandas surau dalam keadaan separuh bogel sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pengerusi surau dan pihak penguat kuasa agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati remaja lelaki berasal dari Sungai Kob, di sini dan bekerja sebagai peniaga nasi lemak serta mengaku masih bujang.
“Remaja perempuan pula berusia 15 tahun dan berasal dari Changlun. Dia sudah tidak bersekolah dan kini tinggal bersama ibu saudaranya di Sungai Ular. Kedua-duanya mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya. – KOSMO! ONLINE














