PUCHONG – Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dan cuba meloloskan diri daripada dicekup Jabatan Imigresen (JIM) gagal apabila pergerakan mereka berjaya dikesan menerusi penggunaan dron di Taman Kinrara di sini semalam.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilaksanakan JIM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya bagi mengesan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah serta melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Menurut JIM, penggunaan dron sebagai aset sokongan bertujuan memantau pergerakan, mengenal pasti laluan dan lokasi persembunyian warga asing sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi selain membantu anggota di lapangan melaksanakan tindakan dengan lebih tersusun dan selamat.
Katanya, operasi itu membabitkan 46 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama tujuh pegawai KPDN yang memberi tumpuan pemeriksaan terhadap sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara.
“Ketika operasi dijalankan, beberapa warga asing dilihat cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi. Bagaimanapun, hasil pemantauan udara menggunakan dron, pergerakan mereka berjaya dikesan sebelum tindakan segera diambil bagi menghalang cubaan meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JIM, hasil pemeriksaan terhadap 18 premis perniagaan dan 117 individu di kawasan berkenaan, JIM menahan 32 warga asing terdiri daripada warganegara Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Ujarnya, keesemua warga asing yang ditahan berusia antara 22 hingga 43 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya. – KOSMO! ONLINE














