PETALING JAYA – Stesen Meteorologi Kluang, Johor merekodkan suhu maksimum tertinggi di negara ini iaitu 35.5 darjah Celsius dalam tempoh 24 jam berakhir semalam.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), bacaan itu diikuti Stesen Meteorologi Subang, Selangor dengan 35.2 darjah Celsius dan Stesen Meteorologi Alor Setar, Kedah sebanyak 34.7 darjah Celsius.
Secara keseluruhan, purata suhu maksimum bagi semua Stesen Utama di seluruh negara direkodkan pada 32.5 darjah Celsius.
Sementara itu, Bintulu, Sarawak mencatat jumlah taburan hujan tertinggi iaitu 116.2 milimeter (mm), diikuti Sibu, Sarawak dengan 47.6 mm.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan mendapatkan maklumat terkini menerusi laman sesawang serta media sosial rasmi jabatan itu.
Orang ramai juga digalakkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca panas dan berwaspada terhadap kemungkinan hujan lebat serta ribut petir di kawasan yang terlibat.-KOSMO! ONLINE














