SHAH ALAM – Seramai 50 pekerja sebuah kilang kertas yang dipercayai nyenyak tidur terselamat selepas premis itu terbakar di sekitar daerah ini, hari ini.
Kesemua pekerja warga asing yang berada di asrama itu dikatakan sempat menyelamatkan diri keluar dari lokasi tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.46 pagi tadi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Sri Andalas dan Klang Utara.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang bangunan kelas B berkeluasan 100 x 200 kaki persegi.
“Anggaran peratusan kebakaran kira-kira 30 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Asrama pekerja berada di belakang dan 50 penghuninya selamat,” katanya pagi ini.
Tambah Ashrul Riezal, kebakaran dipercayai bermula daripada longgokan kertas dan berjaya dikawal pukul 2.50 pagi.
“Kerja pemadaman masih sedang dijalankan dan menunggu bantuan ekskavator bagi memudahkan operasi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.















