fbpx
KA SIONG

MCA sokong 100 peratus Onn Hafiz teruskan Agenda Maju Johor 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – MCA memberi sokongan 100 peratus kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk terus menerajui pentadbiran negeri dan merealisasikan Agenda Maju Johor 2030 selepas Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kemenangan BN yang meningkatkan penguasaan daripada 40 kepada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan rakyat yakin terhadap kepimpinan Onn Hafiz serta hala tuju pembangunan yang dibawa kerajaan negeri.

“Rekod pentadbiran Onn Hafiz termasuk pelaksanaan pelan transformasi ekonomi Johor menjadi antara faktor utama rakyat terus memberikan mandat kepada BN untuk mentadbir negeri ini.

“MCA akan memberikan sokongan 100 peratus kepada Datuk Onn Hafiz untuk terus menerajui kerajaan negeri demi memastikan Agenda Maju Johor 2030 dapat diteruskan dan segala perancangan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini malam semalam.

Ka Siong berkata, sepanjang kempen PRN, BN berdepan pelbagai serangan, tohmahan dan tuduhan daripada pihak lawan, namun segala dakwaan berjaya dijawab secara berhemah sehingga pengundi kembali memberikan keyakinan kepada gabungan itu.

Mengulas prestasi MCA, beliau berkata, parti itu berjaya memenangi lapan daripada 15 kerusi yang ditandingi, sekali gus menggandakan pencapaian berbanding empat kerusi pada PRN Johor 2022.

Katanya, kesemua empat penyandang MCA bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi masing-masing, malah mencatat peningkatan majoriti, sekali gus membuktikan khidmat mereka terus diterima rakyat.

Beliau berkata, MCA turut merampas kerusi Tangkak dan Pemanis, selain mencipta kejayaan di Johor Jaya apabila berjaya menukar kekalahan pada pilihan raya lalu kepada kemenangan dengan majoriti melebihi 6,000 undi.

Tambahnya, beberapa kerusi lain turut dimenangi dengan majoriti antara 10,000 hingga 12,000 undi, sekali gus menunjukkan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan BN semakin kukuh.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN