JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas hanya berjaya memenangi satu daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, parti itu menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dan menerima kekalahan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.
Menurut beliau, PKR mengucapkan tahniah kepada semua calon yang diberikan mandat oleh pengundi, termasuk Dr. Maszlee Malik yang muncul satu-satunya calon PKR berjaya mempertahankan maruah parti pada PRN kali ini.
“Bagi Keadilan Johor, kami akan terus memainkan peranan secara konstruktif sebagai suara rakyat, mempertahankan prinsip demokrasi serta memperjuangkan kepentingan semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada PRN Johor ke-16 semalam, PKR bertanding di 20 kerusi DUN namun hanya berjaya menawan DUN Puteri Wangsa.
Maszlee yang juga Ketua PKR Cabang Simpang Renggam memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,738 undi selepas memperoleh 41,694 undi.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang memperoleh 35,956 undi, calon Muda, Rashifah Al Junied (5,821), calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,389) serta calon Bebas, Wang Wee Szoang (238).-KOSMO! ONLINE















