ANGGOTA Tentera Darat Colombia berkawal semasa operasi membebaskan tebusan yang ditawan lelaki bersenjata di sebuah pasar raya Exito di Cartagena, Colombia kelmarin. - AFP

30 pengunjung pasar raya ditawan lelaki bersenjata di Colombia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BOGOTA –  Lelaki bersenjata menawan kira-kira 30 tebusan di sebuah pasar raya di bandar pelancongan di Cartagena, Colombia semalam, sekali gus mencetuskan situasi tegang berjam-jam lamanya dengan pasukan keselamatan.

Pihak berkuasa memaklumkan suspek bersenjata terbabit cuba merompak sebuah kenderaan berperisai sebelum melarikan diri ke dalam pasar raya tersebut dan menawan kira-kira 30 orang sebagai tebusan apabila polis semakin menghampiri. 

Anggota polis, tentera dan pasukan khas bertindak mengepung bangunan berkenaan serta memotong bekalan elektrik di kawasan sekitar. 

Wartawan AFP di lokasi melaporkan melihat anggota polis bersiap sedia di pintu masuk, manakala penembak tepat mengambil posisi di atas bumbung bangunan berhampiran.

Menjelang malam, polis mengesahkan seramai 10 orang tebusan berjaya dibebaskan, termasuk lima wanita warga emas.

Presiden Colombia yang baru dipilih, Abelardo De la Espriella, dijadual tiba di bandar pelabuhan Caribbean itu bagi mengetuai operasi menyelamat yang turut melibatkan pasukan tentera laut.

“Ini akan berakhir dengan baik bagi para tebusan. Namun, saya tidak pasti sama ada ia akan berakhir dengan baik bagi penjenayah-penjenayah itu,” tegasnya.

De la Espriella turut menolak dakwaan penglibatan kumpulan gerila atau separa tentera dalam insiden tersebut.

“Ini bukan tindakan penculikan oleh kumpulan pengganas. Mereka hanyalah penjenayah yang terperangkap tanpa jalan keluar, lalu bertindak menawan orang awam,” jelasnya. 

Rakaman yang tular di media tempatan dan media sosial memaparkan suspek bertopeng yang bersenjatakan raifal mengawal tebusan yang melutut di atas lantai premis. 

Sementara itu, media tempatan melaporkan kumpulan suspek terbabit menuntut wang tebusan hampir AS$2 juta (RM9 juta), dua kenderaan berperisai serta laluan selamat menuju ke bandar Barranquilla yang terletak kira-kira 130 kilometer ke timur laut. 

Bagaimanapun, tuntutan itu belum dapat disahkan secara rasmi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN